RADZI. FOTO Bernama
RADZI. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Tawaran Perikatan Nasional (PN) dalam manifestonya bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) telah dikaji secara mendalam, dan ia realistik untuk dilaksanakan, kata calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, tawaran yang diumumkan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk rakyat Malaysia semalam, mengambil kira kepentingan pelbagai segmen masyarakat dalam tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang.

"Dalam setiap perkara yang kita masukkan dalam manifesto itu, kita ambil kira segala aspek untuk pastikan apa yang kita sebut dapat dilaksanakan.

"Ia bukan sesuatu yang kita main-main untuk buat, kita ikhtiar terbaik setiap apa yang diletakkan dan bila tiba masa kita (PN) bentuk kerajaan, ia akan dapat dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pengeluaran Kertas Undi Pos P125 Putrajaya di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin melancarkan tawaran PN bagi PRU-15, termasuk memberikan tumpuan merancakkan ekonomi melalui Tabung Khas Galakan Pelaburan berjumlah RM5 bilion, dan mencipta sejuta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Ia adalah antara 50 tawaran utama gabungan itu, selain akses perkhidmatan kesihatan terpilih percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan menerusi Kad Prihatin Nasional, dan kenaikan kadar elaun sara hidup (COLA) penjawat awam sebanyak RM100, yang akan diselaras secara berkala.

PN dianggotai Bersatu, Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Radzi berkata, PN menawarkan satu kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil sekiranya diberi mandat oleh rakyat Malaysia.

"Apa yang kita mahu ialah kerajaan bersih dan stabil, setiap duit rakyat dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk dan seoptimum mungkin," kata Naib Presiden Bersatu itu.

Mengenai tinjauan di Pusat Pengeluaran Kertas Undi Pos P125 Putrajaya, Radzi berkata, proses pengeluaran kertas undi berjalan dengan lancar dengan baik.

"Saya harap pengundi Putrajaya dapat undi saya," katanya.

Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), PN, Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan dua calon Bebas.

Mereka ialah Radzi, penyandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PH), Timbalan Presiden Berjasa Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang) serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 3:09 PM