TENGU Adnan menyampaikan ucapan pada Program Generasi Anak Muda di Presint 16 hari ini. FOTO Samadi Ahmad.
TENGU Adnan menyampaikan ucapan pada Program Generasi Anak Muda di Presint 16 hari ini. FOTO Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Strategi Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin di Parlimen Putrajaya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan ancaman kepada Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, Pengerusi BN Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, BN bersiap sedia menerima kehadiran mana-mana parti dan calon yang mahu bertanding di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

Tengku Adnan yang juga penyandang kerusi Parlimen Putrajaya berkata, BN bersikap terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berhasrat untuk bertanding atas semangat demokrasi.

"BN tidak gentar dan yakin dapat mempertahan kerusi Parlimen Putrajaya

dan bukannya sebagai calon yang muncul ketika pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas Program Generasi Anak Muda di Presint 16 di sini, hari ini.

Program bermula 9 malam ini dihadiri seramai 7,000 penduduk dan pengundi di sini.

Rabu lalu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Jelajah Prihatin di Presint 16 mengumumkan Mohd Radzi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai calon Parlimen Putrajaya.

Tengku Adnan berkata, jentera BN Putrajaya sudah siap sedia menghadapi PRU-15 dan setakat ini hanya beliau dinamakan sebagai calon Parlimen Putrajaya.

Katanya, beliau bersedia menggalas tanggungjawab sekiranya dicalonkan semula dan berserah kepada kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan.

"Secara keseluruhannya tahap kesediaan jentera BN di tujuh Peti Daerah Mengundi (PDM) sudah bersiap sedia bagi menghadapi PRU-15," katanya.

Untuk rekod Tengku Adnan adalah Ahli Parlimen Pertama di Putrajaya dan berjaya mempertahankan BN di kerusi itu sejak empat penggal lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 10:05 PM