TUNKU Ismail. FOTO Arkib NSTP
TUNKU Ismail. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan semua rakyat negeri itu supaya sentiasa menjaga tingkah laku.

Tunku Ismail turut menitahkan supaya semua rakyat negeri ini sentiasa bertanggungjawab dalam apa jua perkara yang dilakukan mereka.

"Ingin saya mengingatkan kepada semua Bangsa Johor supaya sentiasa jaga tingkah laku dan bertanggungjawab dalam apa jua perkara yang anda lakukan.

"Semoga negeri Johor dan seluruh Bangsa Johor sentiasa diberkati dan dipelihara Allah. Muafakat itu berkat, Allah Peliharakan Sultan," titah baginda di akaun Facebook rasmi, malam ini.

Pesanan Tunku Mahkota Johor itu dipercayai susulan polemik kekecohan yang dikaitkan dengan acara dianjurkan sebuah parti politik di Muar, minggu lalu dan semalam.

Terdahulu, media melaporkan program makan malam dan pelancaran jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diadakan di Muar malam tadi, diganggu kumpulan lelaki berpelitup muka.

Ketika program itu berlangsung pada 9.30 malam, seramai 30 individu yang memakai hoodie dan pelitup muka membuat provokasi dengan membaling botol, menolak sukarelawan dan anggota Muda.

Mereka turut didakwa membaling mercun selain menendang dan merosakkan kenderaan tetamu yang hadir.

Bagaimanapun kehadiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan membuatkan kumpulan lelaki itu melarikan diri namun tiga daripadanya dilaporkan berjaya ditahan.

Insiden berkenaan adalah yang kedua menimpa Muda dalam tempoh seminggu dengan program ceramah mega Pakatan Harapan (PH) yang diadakan di Muar pada 17 Oktober lalu turut dilaporkan diganggu 'mat moto' yang melakukan provokasi.

Gangguan dilaporkan tercetus ketika giliran Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapannya sebelum ceramah itu diteruskan dan keadaan berjaya dikawal oleh anggota polis serta sukarelawan yang bertugas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 8:51 PM