ANNUAR Musa. FOTO arkib NSTP
ANNUAR Musa. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Hentikan kekerasan dan provokasi melampau sebaliknya beri peluang anak muda berpolitik secara aman.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, perbuatan terkutuk itu perlu dihentikan sekali gus membolehkan setiap pandangan politik diraikan bukannya diganggu gugat.

"Sudah dua kali saya perhati perkara ni berlaku. Berlaku dekat kawasan yang sama.

"Saya mohon sesiapa yang terbabit untuk hentikan perbuatan terkutuk ni, bagi anak muda berpolitik secara aman.

"Perbezaan pandangan tidak perlu diterjemahkan dengan kekerasan dan provokasi melampau," katanya dalam Twitternya pagi ini.

Gesaan Annuar itu dibuat susulan program makan malam dan pelancaran jentera PRU-15 Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang diadakan di Muar malam tadi, diganggu kumpulan lelaki berpelitup muka.

Ketika program itu berlangsung pada jam 9.30 malam, seramai 30 individu yang memakai 'hoodie' dan pelitup muka membuat provokasi dengan membaling botol, menolak sukarelawan dan anggota Muda

Mereka turut didakwa membaling mercun selain menendang dan merosakkan kenderaan tetamu yang hadir.

Bagaimanapun kehadiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan membuatkan kumpulan lelaki itu melarikan diri namun tiga daripadanya dilaporkan ditahan.

Insiden berkenaan adalah yang kedua menimpa Muda dalam tempoh seminggu dengan program ceramah mega Pakatan Harapan (PH) yang diadakan di Muar pada 17 Oktober lalu turut dilaporkan diganggu 'mat moto' yang melakukan provokasi.

Gangguan dilaporkan tercetus ketika giliran Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyampaikan ucapannya sebelum ceramah itu diteruskan dan keadaan berjaya dikawal oleh anggota polis serta sukarelawan yang bertugas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 12:32 PM