AZWAN mengakhiri zaman bujang apabila memilih Eva Noza sebagai suri hatinya. FOTO Aziziang Photography
AZWAN mengakhiri zaman bujang apabila memilih Eva Noza sebagai suri hatinya. FOTO Aziziang Photography
Amir Mamat

Melaka: Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 30, yang terkenal dengan aktiviti sukarela membantu mangsa banjir di negara ini, mengakhiri zaman bujang apabila memilih Eva Noza Zakaria sebagai suri hatinya.

Pernikahan 'wira banjir' bersama isterinya itu berlangsung secara ringkas di Pejabat Agama Islam Daerah Melaka Tengah di Ayer Keroh di sini, Jumaat minggu lalu yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat kedua pasangan berkenaan.

Dengan mas kahwin RM150 dan wang hantaran RM8,888 berserta sebentuk cincin dan beberapa hadiah iringan, Azwan kini sah menjadi suami Eva Noza menerusi sekali lafaz.

Azwan berkata, dia yang pada mulanya mahu merahsiakan sementara status pernikahannya, terkejut apabila beberapa gambar pada majlis berkenaan tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, anak kelahiran Alor Gajah itu berkata, dia sebenarnya tidak berhasrat untuk menyembunyikan status pernikahan itu, tetapi mahu menjaga hati beberapa pihak yang mungkin terkesan apabila mendapat tahu mengenai perkahwinannya.

"Saya memang mahu memaklumkan mengenai pernikahan saya itu apabila sampai waktunya nanti, namun apabila beberapa gambar nikah saya mula tersebar, saya perlu mengesahkan status sebenar diri saya.

"Alhamdulillah, majlis pernikahan saya berjalan lancar dan kami merancang untuk mengadakan resepsi perkahwinan pada Disember ini.

"Saya mengharapkan doa semua ahli keluarga, sahabat handai serta masyarakat supaya jodoh kami berkekalan," katanya dihubungi hari ini.

Azwan, pengasas Pertubuhan Gerakan Kebajikan Abang V-Va yang berasal dari Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah menarik perhatian rakyat Malaysia kerana kesungguhannya membantu mangsa banjir dengan hanya berbekalkan RM50 dan memandu Perodua Viva serta sebuah bot di Selangor pada akhir tahun lalu.

Pelbagai pihak tampil membantu Azwan dengan menyumbang keperluan seperti kenderaan pacuan empat roda, motosikal serta peralatan bantuan kecemasan bagi memberi galakan serta semangat kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 2:29 PM