Azwan Omar bersama keluarga tercinta yang dimuat naik bersama hantarannya di Fb. FOTO IHSAN FB AZWAN OMAR
Azwan Omar bersama keluarga tercinta yang dimuat naik bersama hantarannya di Fb. FOTO IHSAN FB AZWAN OMAR
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Selepas dihambat kontroversi berikutan perkahwinan yang didakwa tidak mendapat restu ibu bapa, aktivis sukarelawan Azwan Omar atau dikenali Abang Viva hari ini menjelaskan yang dirinya sudah kembali berdamai dengan keluarga.

Azwan, 30, berkongsi perkembangan itu menerusi hantaran di Facebook (Fb) miliknya, awal pagi tadi.

Menerusi hantaran itu, Azwan turut berkongsi gambarnya dan isteri bersama keluarga.

Kongsinya, hubungan dengan keluarga kembali jernih dan dia sudah memohon maaf atas isu yang timbul.

"Alhamdulillah, segala perselisihan faham diselesaikan dan kami menjadi seperti dahulu kembali.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Saya wakil dari seluruh keluarga memohon maaf atas segala yang telah terjadi dan saya berharap tiada lagi kecaman atau isu yang akan dikeluarkan.

"Biarlah apa yang berlaku dan apa yang kami bincangkan menjadi rahsia antara keluarga kami. Terima kasih dan maaf sekali lagi kepada semua," katanya.

Menerusi hantaran sama, Azwan turut memohon kerjasama baik semua pihak untuk tidak memanjangkan isu berkenaan.

"Saya berharap tiada lagi persoalan atau pertanyaan tentang isu ini kepada ibu bapa saya.

"Jika ada kebencian, pertanyaan atau apa-apa boleh terus kepada saya sahaja biarlah saya seorang yang menanggung segala beban, bukan keluarga saya," katanya.

Azwan turut berkongsi mengenai majlis perkahwinannya yang akan dilangsungkan pada Disember depan dalam hantaran itu.

Dia memberitahu akan bercuti satu atau dua hari lagi sebelum kembali bekerja.

"Maaf juga kepada customer (pelanggan) saya sebab tak dapat datang untuk basuh kereta korang (anda).

"Mungkin saya bercuti dalam satu atau dua hari lagi sebelum saya teruskan kembali kerja cucian kereta bergerak saya," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Azwan yang terkenal dengan aktiviti sukarela membantu mangsa banjir di negara ini, mengakhiri zaman bujang apabila memilih Eva Noza Zakaria sebagai suri hatinya.

Pernikahan 'wira banjir' bersama isterinya itu berlangsung secara ringkas di Pejabat Agama Islam Daerah Melaka Tengah di Ayer Keroh di sini pada 14 Oktober lalu yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat kedua pasangan berkenaan.

Azwan sah menjadi suami Eva Noza menerusi sekali lafaz dengan mas kahwin RM150 dan wang hantaran RM8,888 berserta sebentuk cincin serta beberapa hadiah iringan.

Azwan yang juga anak kelahiran Alor Gajah, Melaka itu pada mulanya mahu merahsiakan sementara status pernikahannya, terkejut apabila beberapa gambar pada majlis berkenaan tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, Azwan kemudian menjelaskan yang dia tidak berhasrat untuk menyembunyikan status pernikahan itu cuma mahu menjaga hati beberapa pihak yang mungkin terkesan apabila mendapat tahu mengenai perkahwinannya.

Berita perkahwinan Azwan itu semakin hangat diperkatakan selepas seorang wanita dipercayai kakak Azwan memuat naik hantaran di Fb dengan menyatakan adiknya itu bertunang dan berkahwin dengan pilihan hatinya tanpa pengetahuan mereka sekeluarga.

Hantaran itu kemudian mengundang pertanyaan dan pelbagai andaian dalam kalangan netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 12:04 PM