Azwan (kiri) menerima Sijil Penghargaan Wira Bomba dari Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pada Majlis  Perbarisan Tahunan 2022 JBPM di sini hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Azwan (kiri) menerima Sijil Penghargaan Wira Bomba dari Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pada Majlis Perbarisan Tahunan 2022 JBPM di sini hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Selepas lebih sebulan kisahnya menyelamat mangsa banjir mencuri perhatian ramai berlalu, Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar kini mulai merancang berhenti kerja dan memberi tumpuan kepada kerja sukarelawan.

Azwan, 30, berkata, ketika ini dia masih cuti berkerja dan bercadang mahu berhenti dalam masa terdekat bagi menumpukan perhatian kepada kerja sukarelawan.

"Kerja sukarelawan memberi kepuasan kepada diri dan ketika ini saya lebih selesa membuat kerja kebajikan membantu golongan yang memerlukan bantuan," katanya.

Azwan memberi reaksi itu ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atas keprihatinannya membantu mangsa banjir, baru-baru ini.

Dia menerima sijil penghargaan yang disampaikan Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pada Majlis Perbarisan Tahunan 2022 JBPM di sini, hari ini.

Azwan mengakui gembira dan bersyukur apabila menerima sijil penghargaan yang tidak dijangka itu.

Menurutnya, penghargaan itu adalah kali kedua diterimanya daripada pasukan keselamatan selepas dipilih menjadi anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka.

Pada majlis itu, seramai 15 individu dianugerahkan Sijil Penghargaan Wira Bomba terdiri daripada orang awam, enam penerima Sijil Penghargaan Agensi dan 15 menerima Sijil Penghargaan Pengamal Media.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JBPM Datuk Edwin Galan Teruki dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Mengenai kerja sukarelawannya, Azwan berkata, dia bercadang membantu membersihkan pusat tahfiz di Pahang yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Menurutnya, dia juga sudah mengadakan kutipan dana yang dimulakan sejak dua hari lalu melalui Facebook bagi membantu menyediakan peralatan diperlukan di pusat tahfiz.

Katanya, setakat ini sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang bersama memberi sumbangan dan berharap lebih ramai dapat menyumbang bagi membantu pusat tahfiz yang jejas banjir.

"Saya enggan mendedahkan jumlah sumbangan yang terkumpul setakat ini dan berharap akan bertambah sebelum meneruskan misi baharu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 1:59 PM