AZWAN Kombos tidak puas hati dengan kualiti video iklan produk kosmetik dihasilkan. FOTO Aziah Azmee
AZWAN Kombos tidak puas hati dengan kualiti video iklan produk kosmetik dihasilkan. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph


PELAKON Azwan Kombos mengakui kerugian lebih RM10,000 apabila hasil kerja sebuah produksi yang bertanggungjawab menghasilkan iklan produk kosmetiknya sangat tidak memuaskan.

Azwan, 34, berkata produksi itu sendiri berjanji untuk menghasilkan kualiti video yang bertaraf antarabangsa meskipun dengan bajet sebegitu tapi akhirnya banyak aspek kurang memuaskan.

“Bagi orang lain, jumlah RM10,000 ini mungkin tidak banyak tapi tidak buat saya. Saya sebenarnya belum terdetik untuk membuat video berkenaan tapi cara produksi itu memujuk berjaya meyakinkan kami.

“Mereka berkata, banyak kemungkinan baik boleh membantu perniagaan kosmetik saya ini apabila ada iklan sendiri. Mereka berjanji untuk menghasilkan video yang berkualiti antarabangsa.

“Bagaimanapun, persembahan visual dan infografik nampak sangat biasa manakala audio pun tak jelas. Saya turut kongsikannya di Instagram dan ramai yang turut berpendapat sama mengenai tahap kualiti video ini,” katanya.

Azwan mengakui hal itu memberi pengajaran buatnya supaya lebih berhati-hati selepas ini dan tidak mudah terpedaya.

“Sekarang ini saya cuma boleh marah diri sendiri disebabkan tidak memeriksa latar belakang produksi itu terlebih dulu.

“Saya pun tak mahu sebut nama produksi itu sebab tidak mahu mengaibkan mereka.

“Apapun, inilah pengajaran yang saya belajar dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 3:07 PM