Wetrom Bahanda (empat dari kanan) keluar GRS.
Wetrom Bahanda (empat dari kanan) keluar GRS.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di bawah gabungan itu kekal setia, kecuali Adun Bandau, Datuk Wetrom Bahanda yang disahkan keluar pada Sabtu lalu.

Pengesahan itu dibuat Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun, berdasarkan pertemuan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dengan semua Adun GRS mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di sini, malam tadi.

Masidi yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata, hanya seorang wakil rakyat Bersatu tidak hadir pada pertemuan itu, iaitu Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang, namun menyatakan pendirian tetap bersama parti.

"Semua Adun GRS dan Bersatu menyokong GRS dan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor termasuk Datuk Rubin yang tidak dapat hadir perjumpaan pada malam ini (malam tadi) kerana ada acara di kawasan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Difahamkan, pertemuan itu susulan khabar angin mengatakan empat lagi Adun GRS dari Bersatu dan Adun Bebas mesra GRS iaitu Datuk Masiung Banah (Kuamut), Datuk Ruddy Awah (Pitas), Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) dan Rubin akan mengikut jejak Wetrom.

Sabtu lalu, Masidi mengesahkan laporan yang tular di media sosial mengatakan Wetrom keluar Bersatu dan GRS selepas dilihat menghadiri program pembangkang yang dianjurkan Parti Warisan (Warisan).

Tindakan Wetrom itu katanya sudah dijangka kerana mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 9:30 AM