Wetrom Bahanda (empat dari kanan) membuat isyarat tangan melambangkan ‘W’ untuk Warisan dengan orang lain di Kota Belud dan poster pilihan raya yang bertanding untuk Kota Marudu.
Wetrom Bahanda (empat dari kanan) membuat isyarat tangan melambangkan ‘W’ untuk Warisan dengan orang lain di Kota Belud dan poster pilihan raya yang bertanding untuk Kota Marudu.
Rafiqah Dahali


Papar: Parti Warisan Sabah (Warisan) belum memberi sebarang pengesahan berhubung penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda masuk parti secara rasmi itu selepas dilaporkan keluar dari Bersatu.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau belum membuat sebarang pertemuan dengan Wetrom bagi membincangkan perkara terbabit.

"Kita tunggu bila sampai waktunya. Dia (Wetrom) pun belum jumpa dengan saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Warisan Parlimen Papar, semalam.

Semalam, media melaporkan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun mengesahkan Wetrom keluar dari parti terbabit.

Masidi yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjawab 'ya' melalui aplikasi WhatsApp ketika diminta mengesahkan berita terbabit.

Ini berikutan Wetrom dilihat menghadiri program Warisan bersama pemimpin dan penyokong parti itu di Matunggong, Kudat sehingga menjadi tular di laman media sosial, semalam.

Difahamkan, Wetrom yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah berbuat demikian kerana mahu bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu yang diperuntukkan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 8:37 AM