ANGGOTA APM Kubang Pasu memasang khemah untuk mangsa banjir yang dipindahkan di PPS SMK Changlun.FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM Kubang Pasu memasang khemah untuk mangsa banjir yang dipindahkan di PPS SMK Changlun.FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 67 orang daripada 16 keluarga di dua daerah iaitu Langkawi dan Kubang Pasu yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS).

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, jumlah mangsa itu dilaporkan pada 12 tengah hari ini.

Menurutnya, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Syifa, Langkawi meningkat kepada 43 mangsa daripada 11 keluarga berbanding 38 mangsa daripada 10 keluarga yang dilaporkan pada 8 pagi.

"Antara kawasan yang terjejas dalam banjir di Langkawi semalam adalah Kampung Teluk Yu, Kampung Sungai Itau, Kampung Kilim, Kampung Tua, Tanjung Rhu, Kampung Pasir Hitam dan Kampung Telaga Ayer Hangat.

"Turut terjejas adalah Kampung Belanga Pecah, Kampung Padang Gong, Hadapan Padang Mat Sirat, Jalan Kedawang, Jalan Kelubi, Sekolah Kebangsaan (SK) Tuba, SK Seri Lagenda, Simpang Tiga Nyior Cabang dan Jalan Penarak," katanya.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir di Kubang Pasu pula masih kekal dengan 24 mangsa daripada lima keluarga di daerah itu yang dipindahkan awal pagi hari ini.

"Kesemua mangsa itu membabitkan Kampung Paya Lantau, Kampung Nangmi dan Kampung Nangmah di Changlun dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 3:16 PM