BOMBA membantu memindahkan mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu memindahkan mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


SERAMAI 128 mangsa dari 33 keluarga di lima kampung di sekitar Changlun dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kampung Tradisi berikutan banjir kilat, semalam.

PPS berkenaan dibuka pada 10 malam berikutan paras air di kawasan berkenaan, antara 0.5 meter sehingga 0.76 meter.

Antara kampung terjejas, Kampung Padang Satu, Kampung Padong, Kampung Masjid Titi Kerbau di Mukim Sungai Laka, manakala Kampung Lembah Keriang dan Kampung Baru Changlun di Mukim Temin.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, hujan lebat berterusan antara 2.30 petang hingga 5 petang semalam menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air berikutan air Sungai Laka melimpah.

Beliau berkata, pemantauan anggotanya pada 8 malam tadi mendapati air di kawasan terjejas semakin surut, namun begitu, paras air sungai berkenaan meningkat.

"Kemungkinan beberapa kawasan di Kampung Masjid Titi Kerbau, Kampung Paya Nomi, Kampung Paya Lantau, serta sekitarnya akan turut dinaiki air disebabkan air semakin ‘turun’ ke kawasan berkenaan," katanya

Operasi turut dibantu pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 10:06 AM