CHA (kiri) dan pegawainya menunjukkan mercun yang dirampas dalam serbuan di premis di Klang. FOTO Ihsan IPD Klang Selatan.
CHA (kiri) dan pegawainya menunjukkan mercun yang dirampas dalam serbuan di premis di Klang. FOTO Ihsan IPD Klang Selatan.
Ruwaida Md Zain


Klang: Polis menahan lelaki tempatan bersama 266 kotak pelbagai jenis mercun dalam serbuan di sebuah premis di kawasan Jalan Dato Dollah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, serbuan selepas risikan terhadap lokasi aktif menyimpan dan menjual mercun di sekitar daerah ini.

"Ketika serbuan pada 6 petang itu, suspek yang berumur 48 tahun berada di dalam premis dan gagal melarikan diri.

"Pemeriksaan menemukan 266 kotak pelbagai jenis bahan letupan mercun yang bernilai RM120,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata, siasatan awal mendapati kegiatan di premis itu sudah berlangsung 10 hari dan barang larangan dijual secara borong kepada peniaga jalanan, dipercayai untuk sambutan Deepavali, tidak lama lagi.

"Semakan turut mendapati suspek yang juga pemilik premis itu mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Dia direman empat hari sehingga 17 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Dalam pada itu, polis mempergiat usaha mengesan dan menangkap pemilik atau peniaga yang terbabit penjualan mercun tanpa permit, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 8:04 PM