EMPAT lelaki yang ditahan kerana terbabit penjualan dan pengedaran mercun. FOTO Ihsan Batalion 5 PGA.
EMPAT lelaki yang ditahan kerana terbabit penjualan dan pengedaran mercun. FOTO Ihsan Batalion 5 PGA.
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Pihak berkuasa menumpaskan kegiatan pengedaran dan penjualan mercun di sekitar Muar dan Kempas, susulan penahanan empat lelaki dan rampasan keseluruhan bernilai lebih setengah juta ringgit, semalam.

Mereka, termasuk seorang warga Indonesia yang berumur antara 27 hingga 41 tahun ditahan dalam dua serbuan di lokasi berasingan pada 11 pagi dan 6 petang oleh sepasukan anggota Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pegawai Pemerintah pasukan itu, Superintendan Dimin Awang berkata, tangkapan pertama di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, Muar yang menahan lelaki tempatan dan Indonesia.

"Pemeriksaan dibuat ke atas lori yang menjumpai lima kotak besar warna coklat berisi pelbagai jenis mercun dan tujuh guni mercun bola, manakala di dalam premis terdapat 434 kotak berisi mercun dan lima guni mercun bola.

"Semua rampasan dianggarkan bernilai RM560,300," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dimin berkata, dua suspek berusia 37 dan 41 tahun ditahan dalam serbuan kedua di Taman Bukit Kempas, yang turut merampas pelbagai jenis mercun dan kenderaan dengan nilai keseluruhan RM101,950.

Katanya, suspek dipercayai menjadikan premis itu sebagai tempat simpanan mercun sebelum diedarkan kepada peniaga kecil.

Beliau juga percaya, bekalan mercun dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, rampasan itu juga adalah yang terbesar oleh pihaknya setakat ini, dan suspek serta barangan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957," katanya yang meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah dan penyeludupan di talian hotline 077557280 Pejabat Risik/Gerakan

Batalion 5 PGA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 1:05 PM