ANTARA bunga api dan mercun yang dirampas. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA bunga api dan mercun yang dirampas. FOTO Ihsan Polis.
Samadi Ahmad


Sepang: Polis merampas mercun dan bunga api bernilai RM60,000 serta menahan seorang peniaga wanita dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), di sini, semalam yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan bahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, berdasarkan maklumat dan risikan polis menyerbu premis itu pada 7 petang dan menahan seorang wanita yang juga pemilik premis berusia 33 tahun.

Menurutnya, polis menemui pelbagai jenis bunga api dan mercun di dalam premis berkenaan.

"Semakan mendapati pemilik tidak memiliki (Pol 122) mengikut peraturan 17 (Magazin Sementara), Peraturan Bahan Letupan 1923 iaitu Permit Menyimpan Bunga Api dan Mercun serta melanggar syarat permit ditetapkan polis.

"Wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kesemua bunga api serta mercun dirampas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Kamarul berkata, setakat ini pihaknya berjaya mematahkan empat aktiviti penjualan mercun dan bunga api haram termasuk kes wanita berkenaan di kawasan Sepang.

Katanya, polis turut merampas bunga api dan mercun daripada tiga kes itu dan serbuan di BBST ini adalah jumlah terbesar setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 4:51 PM