Ruwaida Md Zain


Klang: Juruteknik cedera di lengan kanan dan leher selepas dipercayai ditembak seorang lelaki menggunakan dua pistol, di hadapan rumahnya di Jalan Limau Kasturi, Taman Wangi di sini, pagi tadi.

Kejadian dikatakan berpunca daripada tindakan isteri mangsa yang disyaki menipu dalam skim pelaburan sehingga menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati, insiden berlaku kira-kira 7.10 pagi, dengan pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada 8.55 pagi.

"Panggilan daripada wanita warga tempatan, memaklumkan suaminya ditembak oleh lelaki disyaki warga tempatan di hadapan rumah mereka.

"Bertindak di atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan ke tempat kejadian dan mendapati lelaki berumur 46 tahun mengalami kesan kecederaan di lengan kanan dan leher.

"Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut dan pemeriksaan imbasan x-ray mendapati sebiji kelongsong disyaki peluru ada di dalam lengan kanan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata, siasatan juga mendapati suspek menunggang motosikal berwarna gelap dan memakai topi keledar berpenutup gelap ketika kejadian.

"Suspek melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dengan menggunakan dua pistol berlainan.

"Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor menjalankan siasatan di tempat kejadian menjumpai beberapa barang termasuk dua objek logam disyaki kelongsong peluru," katanya.

Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

"Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali individu (suspek) terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hazri Raziffdi (0183204914) atau IPD Klang Selatan di talian 03-33762222," katanya.

POLIS melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian tembak di Jalan Limau Kasturi, Taman Wangi, Klang. FOTO Faiz Anuar.
POLIS melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian tembak di Jalan Limau Kasturi, Taman Wangi, Klang. FOTO Faiz Anuar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 11:10 PM