ACRYL Sani. FOTO Arkib NSTP
ACRYL Sani. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penubuhan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 yang menggabungkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan agensi lain akan memberikan impak positif bagi memerangi jenayah penipuan di Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, usaha kerajaan yang menggabungkan kerjasama PDRM dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta bank tempatan amat dialu-alukan.

"Selain pengumuman kerajaan bagi penjawat awam dalam Bajet 2023, PDRM turut menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan beberapa peruntukan yang akan dinikmati secara langsung oleh kami.

"Ini termasuk peruntukan sebanyak RM18.3 billion diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi terus memperkukuhkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

"Selain itu, peruntukan dana RM431 juta untuk pembelian dan penyelenggaraan aset-aset PDRM serta RM42 juta untuk membaikpulih dan menaik taraf kuarters kediaman PDRM," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, pihaknya juga menghargai penambahan 25 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA), Imigresen, Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Serikin, Sarawak serta Lahad Datu, Sabah.

"Kami turut menghargai pemberian 50 peratus diskaun ke atas pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana kepada 21,000 pemegang kad pesara polis dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.

"PDRM akan memastikan peruntukan yang diumumkan oleh kerajaan melalui Bajet 2023 dimanfaat sepenuhnya bagi memperkasakan kualiti perkhidmatan kepada keluarga besar Malaysia dalam memelihara kententeraman dan keamanan negara," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, hari ini, mengumumkan penubuhan NSRC dengan usahasama PDRM, BNM, SKMM serta NFCC melalui bekerjasama dengan institusi kewangan.

Beliau memaklumkan pusat itu akan mula beroperasi pada bulan ini dan bertindak berdasarkan laporan diterima untuk menyekat akaun serta mengambil tindakan ke atas penjenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 9:50 PM