HANNAH Yeoh (baju merah) ketika program hiking bersama komuniti peringkat polis kontinjen Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
HANNAH Yeoh (baju merah) ketika program hiking bersama komuniti peringkat polis kontinjen Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, akur dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memutuskan supaya peruntukan pembangunan kepada ahli parlimen dikurangkan tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan itu memaklumkan masih belum diberi taklimat secara terperinci mengenai pengurangan peruntukan berkenaan, yang dijangka akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023.

Bagaimanapun, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu memaklumkan, beliau akan menerima keputusan kabinet dan menerima sebarang peruntukan yang diberikan.

"Belum ada taklimat mengenai penggunaan peruntukan ini, tapi saya rasa kita akan ikut nasihat kabinet.

"Kalau itu yang diperuntukkan, kita akan tunggu penerimaan. Kita tunggu dulu untuk sidang Bajet 2023, akan bermula tak lama lagi," katanya ditemui media pada program 'Hiking' Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Komuniti Peringkat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Taman Persekutuan Bukit Kiara di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan, peruntukan pembangunan kepada ahli parlimen akan dikurangkan tahun ini sebagai langkah mengawal perbelanjaan negara.

Menurut Anwar, peruntukan itu akan diselaraskan dengan pejabat daerah dan pegawai kemajuan negeri dan disalurkan secara berperingkat serta mengikut keperluan.

Bagaimanapun, kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memberi peruntukan pembangunan tambahan kepada ahli parlimen bagi projek mendesak seperti memperbaiki infrastruktur surau, jalan raya dan sungai yang mengalami kerosakan.

Sebelum ini, beberapa media yang memetik sumber melaporkan, peruntukan kawasan untuk ahli parlimen penyokong kerajaan tahun ini dikurangkan lebih 65 peratus iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Bagaimanapun, ahli parlimen pembangkang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengurangkan peruntukan pembangunan itu kerana ia boleh menjejaskan perancangan pembangunan dan kemajuan rakyat serta kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 1:00 PM