GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) telah memulakan kerjasama dengan institusi kewangan utama bagi memerangi penipuan kewangan dalam talian; oleh itu, semua bank utama di Malaysia telah melaksanakan langkah balas yang diumumkan oleh bank pusat berkenaan pada September 2022.

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama dan Sin Chew Daily, Timbalan Gabenor BNM Datuk Marzunisham Omar berkata bank pusat itu serta pemain industri sentiasa mahu melindungi pengguna berikutan peningkatan kes penipuan kewangan dalam talian yang dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Daripada perspektif BNM, yang turut dikongsi oleh industri perbankan, kami memandang serius keselamatan perkhidmatan kewangan, inilah sebabnya mengapa institusi kewangan termasuk institusi perbankan, tertakluk kepada standard keselamatan siber yang sangat ketat dan keperluan IT yang dikenakan oleh BNM," katanya, sambil menyatakan bahawa majoriti bank utama di Malaysia telah melaksanakan semua langkah ini seperti yang dikehendaki oleh BNM.

Lima langkah balas yang diumumkan pada September 2022 merangkumi keperluan untuk bank berhijrah daripada SMS One-Time Passwords (OTP) kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat; mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank dan pencetus bagi mengesan termasuk menyekat transaksi yang mencurigakan; tempoh pengesahan dan penyejukan untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti selamat; menghadkan bilangan peranti berdaftar ke satu peranti dan mewujudkan talian khas penipuan untuk mangsa menghubungi bank bagi melaporkan kejadian penipuan dengan segera.

Langkah-langkah lain termasuk "suis mati" dan tiada pautan dalam SMS, juga diberi mandat sebagai langkah tambahan yang akan diambil oleh industri perbankan untuk memerangi penipuan kewangan.

Secara kolektif, langkah-langkah ini telah menunjukkan hasil dalam mengurangkan bilangan pembayaran dalam talian yang tidak dibenarkan.

NSRC teruma 15,723 panggilan sejak Okt 2022 hingga Jun 2023

Marzunisham berkata risiko penipuan kewangan dan ancaman keselamatan siber tidak dapat dielakkan sejajar dengan perkembangan teknologi berikutan penggunaan pendigitalan yang tinggi dalam perbankan internet.

Beliau mendedahkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah mengendalikan 15,723 kes dengan jumlah kerugian bernilai RM141.47 juta bagi tempoh Oktober 2022 hingga Jun 2023.

Berdasarkan data NSRC, dalam tempoh tersebut, pusat itu menerima laporan paling banyak melibatkan penipuan e-dagang iaitu sejumlah 4,603 kes dengan angka kerugian mencecah RM13 juta; ini diikuti penipuan pekerjaan (3,000 kes - RM44 juta), penipuan pancingan data atau Kit Pembungkusan Permohonan (APK) (2,573 kes - RM19 juta), penipuan telekomunikasi (1,782 kes - RM34 juta) dan penipuan pinjaman (1,432 kes - RM6.9 juta).

NSRC merupakan usaha bersama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), BNM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi.

Penipuan keldai akaun turut membimbangkan

BNM menjelaskan keldai akaun adalah apabila orang lain menggunakan bank individu untuk sama ada mengutip atau memindahkan dana yang mungkin dicuri atau digubah melalui aktiviti haram.

Sekiranya ditangkap, akaun bank orang itu mungkin akan ditutup, dan individu berkenaan menghadapi kesukaran untuk membuka akaun bank pada masa akan datang termasuk risiko didakwa kerana turut membantu dalam memudahkan kegiatan jenayah.

Sehubungan itu, Marzunisham berkata, bank pusat itu bekerjasama rapat dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dalam berurusan dengan keldai akaun.

"PayNet berada dalam kedudukan untuk melihat semua pembayaran dalam talian termasuk pemindahan bank dalam talian. Oleh itu, kami bekerjasama dengan PayNet serta industri perbankan, dalam apa yang kami panggil portal penipuan industri, yang mana bank perlu melaporkan semua akaun atau transaksi yang mereka syaki sebagai penipuan," katanya.

Kerjasama itu bertujuan mencapai dua objektif utama iaitu mengautomasikan serta meningkatkan keupayaan mengesan dana selain meningkatkan portal dengan data yang lebih komprehensif bagi mengenal pasti keldai wang.

Jangan teragak-agak menghubungi talian hotline 24-jam bank atau 997

Marzunisham menasihatkan mangsa supaya menghubungi talian hotline 24 jam bank atau NSRC di 977 untuk melaporkan penipuan kewangan dalam talian secara serta-merta.

Tindakan segera ini adalah penting bagi memastikan bank dapat memintas sebarang dana yang dicuri dan membolehkan polis mengambil tindakan segera.

"Semakin cepat anda menelefon, semakin tinggi kemungkinan kami dapat mengesan dan memegang wang itu supaya dana tidak hilang atau dikeluarkan dari sistem perbankan atau kewangan. Dana sebenarnya mungkin bergerak dari satu akaun ke akaun lain, dan, kadang-kadang, ia berada dalam tempoh kurang dari satu jam.

"Kemudian, polis akan membuat siasatan lanjut berhubung kes itu. Kami mempunyai kes yang berjaya yang mana mahkamah memerintahkan wang itu dikembalikan kepada mangsa. Sebab itu sangat kritikal untuk mangsa menghubungi segera," katanya.

Marzunisham turut menasihati individu supaya mengamalkan konsep '3S - Soal, Sekat dan Sebar' bagi melindungi diri daripada ancaman penipuan kewangan serta jenayah siber.

Gelombang kesedaran bermula pada hujung suku ketiga

Berikutan peningkatan dalam aktiviti penipuan, Marzunisham berkata bank pusat, bersama-sama dengan industri kewangan dan agensi kerajaan bekerjasama secara aktif dalam mewujudkan kesedaran mengenai apa yang perlu dilakukan oleh pengguna untuk menjaga diri daripada menjadi mangsa penipuan.

"Kami sedang bekerjasama dengan industri perbankan untuk meneruskan kempen kesedaran, atau saya boleh menyebutnya sebagai satu lagi gelombang kesedaran oleh industri kewangan menjelang akhir suku ketiga tahun ini.

"Kami percaya melalui kempen kesedaran, kami hanya perlu terus mengulangi mesej yang sama dan terus mengingatkan pelanggan supaya lebih berhati-hati," katanya.

Marzunisham yakin bahawa kesedaran akan menjadi kunci untuk meminimumkan kemungkinan menjadi mangsa penipuan kewangan.

Bagaimanapun, beliau mengakui walaupun wujud pelbagai kempen kesedaran, masih ada individu yang tertipu dengan penipuan dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 11:53 AM