Siraj Jalil
Siraj Jalil
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dilihat mampu membendung jenayah penipuan termasuk kewangan yang semakin serius di negara ini.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, pihaknya menyambut baik cadangan kerajaan menubuhkan pusat berkenaan yang membabitkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan isu kewangan.

"Inisiatif ini menunjukkan bahawa kerajaan peka isu penipuan dalam talian termasuk kewangan dengan menubuhkan pusat berkenaan.

"Pusat ini boleh dijadikan sebagai platform untuk mengkaji modus operandi sindiket penipuan dalam talian yang sentiasa berubah mengikut perkembangan teknologi selain boleh melaporkannya terus kepada masyarakat.

"Malah, tindakan kerajaan menghentikan penggunaan 'one-time-password' (OTP) yang berasaskan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi transaksi berisiko tinggi adalah tindakan bijak kerana ia sudah tidak relevan.

"Pada masa sama, penyediaan sebuah platform untuk orang ramai melaporkan mana-mana akaun atau nombor disyaki digunakan oleh penjenayah penipuan dalam talian adalah bagus bagi membolehkan mangsa menyalurkan maklumat tanpa sebarang kerenah birokrasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen, hari ini, mengumumkan penubuhan NSRC dengan usahasama PDRM, BNM, SKMM serta NFCC melalui bekerjasama dengan institusi kewangan.

Beliau memaklumkan pusat itu akan mula beroperasi pada bulan ini dan bertindak berdasarkan laporan diterima untuk menyekat akaun serta mengambil tindakan ke atas penjenayah.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan memperketatkan langkah-langkah keselamatan untuk perbankan internet oleh institusi perbankan untuk menghentikan penggunaan OTP yang berasaskan SMS bagi transaksi berisiko tinggi.

Menurutnya, kerajaan juga akan menyediakan sebuah platform untuk orang ramai melaporkan mana-mana akaun atau nombor yang disyaki digunakan oleh penjenayah penipuan dalam talian selain memperhebatkan tahap kesedaran literasi kewangan dan digital pengguna demi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 6:57 PM