Ahmad Ahrazzuddin (tengah) menunjukkan sebahagian selipar dan kasut yang dirampas dalam serbuan hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Ahmad Ahrazzuddin (tengah) menunjukkan sebahagian selipar dan kasut yang dirampas dalam serbuan hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Balqis Jazimah Zahari


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas 7,561 pasang kasut dan selipar tiruan membabitkan enam jenama terkenal bernilai RM55,449.

Rampasan itu hasil serbuan di tiga premis sekitar Menglembu di Ipoh bermula 3 petang, hari ini menerusi operasi yang membabitkan 16 pegawai dan anggota penguat kuasa.

Timbalan Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Perak, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, serbuan itu berdasarkan aduan wakil Cap Dagang dan risikan pihaknya selama tiga minggu.

“Antara barangan tiruan yang dirampas adalah berjenama Nike, Adidas, Gucci, Hermes dan Converse.

“Seorang lelaki dipercayai pengurus premis berusia 50-an dan seorang pekerja berusia 40-an ditahan di salah sebuah premis berkenaan,” katanya pada sidang media di sebuah premis diserbu, hari ini.

Ahmad Ahrazzuddin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (2) (c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang mana syarikat akan didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang kesalahan pertama, dan tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang kesalahan kedua dan seterusnya, jika sabit kesalahan.

“Denda perseorangan pula adalah tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan seterusnya boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 bagi setiap barang atau pejara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, berdasarkan risikan, kasut dan selipar tiruan itu untuk pasaran sekitar Ipoh dan turut diniagakan di beberapa pasar malam dengan anggaran RM25 sepasang bagi kasut, selipar RM5 ke RM7.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 8:33 PM