Sarah Zulkifli

Ampang : Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ), Mohd Sallehuddin Abd Samad dan wakil anak Taman Keramat, Arifin Abu Bakar, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menyertai protes jalanan bertujuan bantahan pembangunan kondominium mewah di Taman Keramat, tahun lalu.

Mohd Sallehuddin, 61, dan Arifin, 46,membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan kesalahan itu bertujuan membantah projek Datum Jelatek di Jalan Enggang Utama antara jam 11 pagi sehingga 1 tengah hari, 25 Januari 2015.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh didakwa Seksyen 4 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 3:43 PM