Izlaily Nurul Ain Hussein


TIGA sekeluarga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas tuduhan membekalkan susu rumusan bayi menggunakan cap dagangan palsu, tahun lalu.

Tertuduh Yap Kai Chai, 59, menghadapi tiga pertuduhan, masing-masing satu kes bersama adik iparnya Ling Mei Nar, 42, dan dua kes dihadapi bersama-sama anak lelakinya Yap Chang Hong, 26.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Kai Chai dan Ling sebagai rakan kongsi perniagaan TCM Yongtai Lian didakwa menawarkan pembekalan seunit susu rumusan bayi Enfalac A+ Step 1 (1.8 kg) yang baginya suatu perihal dagangan palsu yang digunakan seolah-olah cap dagangan yang berdaftar 'Enfalac'.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis kedai TCM Yongtai Lian di Taman Mutiara Rini, Skudai, Johor Bahru pada 1 tengah hari, 7 Disember lalu.

Dalam tuduhan kedua, Kai Chai dan Chang Hong sebagai rakan kongsi perniagaan Kedai Ubat dan Membeli-belah Yong Thye Lian didakwa melakukan perbuatan sama di premis mereka di Taman Nusa Bestari, Skudai, Johor Bahru pada 2 petang, hari yang sama.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 8 (2)(B) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan dagangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan terakhir, Kai Chai dan anak lelakinya didakwa berada dalam kawalan mereka untuk pembekalan 208 unit susu rumusan bayi terbabit di sebuah lagi kedai mereka di Taman Seri Orkid pada 4.40 petang, hari yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum dengan Seksyen 8 (2)(B) akta sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh, manakala semua tertuduh diwakili peguam C S Lim.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi proses representasi pada 23 Mac ini.

Berita berkaitan

Bila laporan siap?

Susu selamat tapi tak berkualiti

Pengedar sah bekal susu bayi tiruan?

Tips kesan Enfalac A+ Langkah 1 tiruan

Macam original, tapi 'tiruan'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 11:39 AM
KAI Chai (tengah), Chang Hong (kanan) dan Ling mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
KAI Chai (tengah), Chang Hong (kanan) dan Ling mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim