GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang pemilik syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menjual 1,245 pasang kasut dengan menyalahgunakan cap dagang jenama EVISU, Jun tahun lalu.

Poon Yoke Lee, 52, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan bersalah itu sewaktu pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Azizah Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa didapati mempunyai dalam kawalannya bagi maksud perdagangan berupa 1,230 unit kasut wanita selain 15 unit kasut kanak-kanak merangkumi pelbagai corak, saiz dan warna jenama EVISU yang mana ia adalah suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan secara salah.

Kesalahan itu dilakukan di premis Two Percent Trading Sdn Bhd (No.SSM: 1116797-W) F45B, Tingkat Satu, pasar raya Ipoh Parade, Jalan Sultan Abdul Jalil, di sini kira-kira jam 12 tengahari pada 9 Jun 2022.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Muhd Ridzuan Abd Rahim manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Fairuz Rahman.

Dalam rayuannya bagi pihak OKS, Mohd Khairul Fairuz memohon mahkamah menetapkan denda minima dengan mengambil kira purata pendapatan bulanan anak guamnya RM3,000 sebulan selain menyara seorang isteri serta empat anak masih bersekolah.

Selain itu, pihak pembelaan turut memohon mahkamah mengambil kira hutang sewa premis tertunggak OKS kepada pengurusan Ipoh Parade berjumlah RM234,000 iaitu bagi sewaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa susulan pandemik Covid-19 lalu yang masih belum dilangsaikan, serta mengambil.kira pengakuan salah tertuduh sekali gus menjimatkan kos dan masa mahkamah.

Muhd Ridzuan kemudiannya memohon mahkamah menetapkan denda RM30,000 terhadap OKS salain memohon mahkamah membenarkan barang kes terbabit dilupuskan kepada Kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 127(c) Akta Cap Dagangan 2019 sebelum Hakim membenarkan kedua-dua permohonan itu.

Azizah turut menetapkan OKS agar dipenjara sebulan jika gagal membayar denda yang dikenakan.

Yoke Lee membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 12:30 PM