MAQIS merampas keratan ayam sejuk beku, sosej, buah-buahan dan sayur-sayuran yang bernilai lebih RM47,000 di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang,  kelmarin. FOTO Ihsan MAQIS
MAQIS merampas keratan ayam sejuk beku, sosej, buah-buahan dan sayur-sayuran yang bernilai lebih RM47,000 di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, kelmarin. FOTO Ihsan MAQIS
Hidayatidayu Razali

Rantau Panjang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas ayam sejuk beku, pelbagai jenis sosej, buah-buahan dan sayur-sayuran bernilai lebih RM47,000 di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, kelmarin.

Pengarah Maqis Kelantan, Roslan Che At berkata, Operasi Pematuhan Import dan Eksport Keluaran Pertanian antara jam 5 hingga 7 petang itu berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan barang tanpa permit import yang sah dengan jumlah keseluruhan 11,068 kilogram (kg).

Katanya, pihaknya menahan tiga lori dan hasil pemeriksaan selama dua jam menemukan sebanyak 7,212 kg keratan ayam sejuk beku bernilai RM36,060; 1,710 kg pelbagai jenis sosej dianggar bernilai RM7,695 dan 2,106 kg pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang berjumlah RM3,274.

"Modus operandi mereka dengan menyembunyikan barang dagangan bersama sayur-sayuran dan buah-buahan yang diikrar secara sah cuba dibawa masuk dari Thailand ke Malaysia tanpa permit import sah daripada Maqis.

"Perbuatan itu satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda dibawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

"Turut ditemui bawang merah yang tidak mematuhi syarat import iaitu suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta 728 yang boleh didenda di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Katanya, Maqis komited memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, mikro organisme dan makanan diimport dan dieksport bebas ancaman perosak, penyakit, bahan cemar serta tidak menjejaskan sektor pertanian negara.

"Ia juga perlu mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan.

"Langkah bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang diimport atau dieksport mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 2:21 PM