KERATAN ayam beku bernilai lebih RM265,000 yang diisytihar sebagai ikan dori ditahan MAQIS Selangor dalam satu pemeriksaan di Pelabuhan Klang Barat. FOTO Ihsan MAQIS
KERATAN ayam beku bernilai lebih RM265,000 yang diisytihar sebagai ikan dori ditahan MAQIS Selangor dalam satu pemeriksaan di Pelabuhan Klang Barat. FOTO Ihsan MAQIS
Rosyahaida Abdullah

KERATAN ayam sejuk beku bernilai lebih RM265,000 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor, kelmarin, selepas pengisytiharan yang dibuat pengimport pada permit didapati bercanggah dengan barang dagangan sebenar.

Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata, hasil pemeriksaan rutin pegawai penguat kuasanya di pintu masuk MAQIS di Pelabuhan Klang Barat mendapati barang dagangan seberat 27,830 kilogram dari Hong Kong itu adalah keratan ayam sejuk beku yang diisytihar sebagai ikan dori dalam permit import.

“Pemeriksaan mendapati pengimport membuat pengisytiharan ikan dori pada permit import bagi kemasukan keratan ayam sejuk beku.

“Oleh itu, kesemua keratan ayam bernilai RM265,067.67 ini ditahan untuk siasatan lanjut bagi ketiadaan permit import yang sah dikeluarkan MAQIS.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, MAQIS akan memastikan ketelitian dan kecekapan bagi setiap pemeriksaan yang dilaksanakan untuk kesemua keluaran pertanian yang diimport ke negara ini.

“Kita mahu menjamin setiap keluaran pertanian yang dibawa masuk ke negara ini tiada perosak dan penyakit serta mematuhi syarat dan peraturan yang sudah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 4:41 PM