Sebanyak 1,320 kilogram udang harimau sejuk beku tanpa permit eksport dirampas dalam cubaan membawa keluar ke Singapura, di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), malam tadi. FOTO IHSAN MAQIS
Sebanyak 1,320 kilogram udang harimau sejuk beku tanpa permit eksport dirampas dalam cubaan membawa keluar ke Singapura, di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), malam tadi. FOTO IHSAN MAQIS
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Cubaan pemandu lori menyeludup udang harimau sejuk beku ke Singapura gagal apabila kenderaan terbabit ditahan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini, semalam.

Dalam pemeriksaan pada 11.30 malam, udang harimau seberat 1,320 kilogram itu dirampas kerana didapati tiada permit eksport oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Dalam satu kenyataan, Maqis memaklumkan pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap lori sejuk beku terbabit.

Menurutnya, berdasarkan borang ikrar oleh ejen penghantaran, lori itu sepatutnya membawa hanya 3,880 kilogram udang harimau sejuk beku di laluan eksport.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 5,200 kilogram udang harimau sejuk beku di dalam lori terbabit sekali gus melebihi daripada kuantiti yang diikrarkan.

"Kesemua 1,320 kilogram udang sejuk beku dianggarkan bernilai RM6,600 kemudian dirampas, manakala pemandu lori berusia 39 tahun diambil keterangan sebelum dibebaskan," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 4:43 PM