LELAKI dibelasah orang ramai kerana dikatakan terbabit kes culik kanak-kanak. FOTO Ihsan Pembaca
LELAKI dibelasah orang ramai kerana dikatakan terbabit kes culik kanak-kanak. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Lelaki yang dibelasah orang ramai kerana dikatakan terbabit dengan kes culik kanak-kanak di Dataran Muhamadi di sini, malam tadi memiliki rekod rawatan mental.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan pada 12.27 tengah malam tadi berkaitan kejadian itu.

"Laporan menyatakan orang ramai ternampak suspek yang berusia sekitar 20-an berada di taman permainan kanak-kanak berhampiran Dataran Muhammadi, di sini dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek yang juga seorang penganggur ditangkap orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, hasil ujian saringan yang dibuat mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek pernah menerima rawatan mental di sebuah hospital pada 2014.

"Suspek ditahan dan dirujuk ke hospital untuk untuk rawatan lanjut sebelum diambil keterangan sewajarnya," katanya.

Terdahulu tular empat klip video mengenai kejadian seorang lelaki dipukul orang ramai kerana dikatakan terbabit dengan penculikan kanak-kanak untuk diambil organ.

Dalam video itu, suspek yang memakai topi keledar dibelasah beberapa individu sambil mengadu kesakitan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 10:47 PM