Umi Kalsum tabah menguruskan anaknya, Norjan (kiri) dan adik bongsunya, Ainul Nadiah yang menghidap penyakit cerebral palsy dirumahnya di Kampung Kuala Juru, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
Umi Kalsum tabah menguruskan anaknya, Norjan (kiri) dan adik bongsunya, Ainul Nadiah yang menghidap penyakit cerebral palsy dirumahnya di Kampung Kuala Juru, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Bukan mudah menguruskan tiga ahli keluarga yang sakit terlantar dengan bergantung sumber kewangan daripada bantuan kebajikan.

Namun begitu, Umi Kalsum Ree, 60, tetap cekal menguruskan ibunya, Romlah Saad, 83 yang uzur dan adik bongsunya, Ainul Nadiah Ree, 38 serta anak keduanya, Norjan Ahmad, 37, yang masing-masing menghidap penyakit Cerebral Palsy.

Menceritakan mengenai kehidupannya, Umi Kalsum berkata dia yang kematian suami sejak 13 tahun lalu menggalas tanggungjawab bagi menjaga ibu, anak dan adiknya.

"Saya bersyukur diberikan kesihatan yang baik bagi menjaga ketiga-tiga insan ini, namun sedih tidak dapat memberikan kehidupan lebih selesa memandangkan tidak mempunyai sebarang pendapatan.

"Ketiga-tiga mereka memerlukan perhatian yang sangat rapi dan itu menyebabkan saya tidak boleh bekerja hinggakan kehidupan kami seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya yang menetap di Kampung Kuala Juru, di sini.

Jelasnya, dia hanya bergantung dengan bantuan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing sebanyak RM500 sebulan.

"Mujur ada bantuan ini namun dalam keadaan kos sara hidup semakin tinggi ia tidak mencukupi, apatah lagi anak kedua saya (Norjan) hanya minum susu khas yang berharga hampir RM100 setin, selain menggunakan lampin pakai buang sepanjang masa.

"Norjan tidak dapat makan disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi dan hanya mampu minum susu sahaja melalui tiub.Penggunaan susu pada setiap bulan mencecah 15 tin.

"Dulu pernah sekali bila saya tiada wang dan susu habis saya bagi Norjan minum air rebusan nasi bagi menggantikan susu tetapi Norjan menghadapi masalah cirit birit yang menyebabkan saya sedih sangat-sangat," katanya.

Katanya, dia turut dibantu oleh empat adik beradiknya mengikut kemampuan masing-masing memandangkan mereka juga hidup sederhana.

Umi Kalsum berkata, dia bernasib baik apabila adik bongsunya tidak bergantung pada susu dan

boleh makan seperti biasa walaupun hanya bubur nasi sahaja.

"Bagi penjagaan ibu pula, saya perlu mendapatkan ubat-ubatan hospital pada setiap bulan dan turut berikhtiar membawa ibu menjalani rawatan urutan tradisional.

"Rawatan alternatif ini terpaksa dibuat bagi memastikan sekurang-kurangnya urat saraf ibu kekal lancar kerana dia kurang bergerak dan hanya terbaring sepanjang masa," katanya yang memaklumkan bahawa ibunya menghidap pelbagai penyakit kronik.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Umi Kalsum di 011-2419 2748.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 5:17 PM