PADA usia 30 tahun, Axelsen tidak mahu berlebih-lebihan dalam latihan menjelang temasya Paris 20924.
PADA usia 30 tahun, Axelsen tidak mahu berlebih-lebihan dalam latihan menjelang temasya Paris 20924.
Reuters

London: Pemenang pingat emas badminton perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen tidak mengendurkan kemasyhuran menjelang temasya Paris 2024, tetapi dia berhati-hati tidak berlebihan dalam latihan pada usia 30 tahun.

Berbekalkan sembilan medal Olimpik, kebelakangan ini Denmark muncul antara pesaing utama dalam acara badminton.

Dua daripadanya adalah pingat emas termasuk satu daripadanya disumbangkan Axelsen, tiga tahun lalu.

Axelsen berkata, ramai memandang rendah intensiti fizikal dalam sukan, tetapi dia mahu membentuk keseimbangan dalam latihannya menjelang temasya Paris 2024.

"Banyak cabaran dihadapi pada masa ini, jadi saya perlu pastikan latihan berjalan pada arah yang betul dan tidak berlebihan," kata Axelsen yang memiliki ketinggian hampir 2 meter.

"Sebelum Olimpik Tokyo 2020, saya boleh menekan dalam latihan dan bakal pulih lebih pantas berbanding apa yang dialami sekarang.

"Saya kini berusia 30 tahun dan saya fikir, faktor usia menyebabkan perbezaan ketara. Pada usia 30-an, anda perlu pastikan apa yang dilakukan sempat pulih pada masanya."

Axelsen berkata, dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali kanan yang dialami ketika menentang pemain Taiwan, Lin Chun-Yi di Terbuka Singapura, Mei lalu dan kecederaan itu menyebabkan dia terpaksa menarik diri di separuh akhir kejohanan.

Ancaman utama dalam usahanya menyamai Lin yang mengekalkan gelaran dimenangi pada 2008 dan 2012 bukan saja pemain China, Shi Yuqi dan pemain Malaysia, Lee Zii Jia, tetapi rakan senegaranya yang juga pilihan keempat, Anders Antonsen.

"Pertarungan di final membabitkan pemain Denmark sudah tentu sangat menarik," kata Axelsen.

"Tetapi kita tengok nanti kerana sudah tentu, ramai pencabar hebat. Ramai pemain dalam kelompok 15 pemain terbaik dunia yang mampu mencabar gelaran."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 9:57 AM