KESAN kerosakan susulan serangan Israel di Sekolah Abu Araban. FOTO AFP
KESAN kerosakan susulan serangan Israel di Sekolah Abu Araban. FOTO AFP
AFP

Gaza: Agensi pertahanan awam di Gaza yang dikendalikan Hamas, semalam, menjelaskan bahawa 15 mangsa terbunuh dalam serangan Israel ke atas sekolah yang menjadi tempat perlindungan, namun Israel mendakwa kononnya ia menyasarkan pengganas.

Serangan ke atas tapak sekolah Abu Araban yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di tengah kem Nuseirat di Gaza itu, adalah kejadian kelima ke atas sekolah yang dijadikan pusat perlindungan dalam tempoh lapan hari.

"Sekolah Abu Araban itu menempatkan ribuan mangsa yang dipindahkan," kata jurucakap agensi pertahanan awam Mahmud Bassal kepada AFP, sambil menambah bahawa kebanyakan yang maut adalah wanita dan kanak-kanak.

Sekolah-sekolah di Nuseirat menjadi sasaran termasuk dua serangan sekolah sebelum ini, ketika Israel meneruskan serangannya terhadap Hamas.

Tentera Israel mendakwa, tentera udaranya "menyerang sejumlah pengganas yang beroperasi di kawasan bangunan sekolah Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Nuseirat".

Israel mendakwa bangunan itu berfungsi sebagai tempat persembunyian dan pangkalan untuk serangan ke atas tenteranya.

AFPTV menunjukkan imej kompleks tiga tingkat, dengan pakaian dan peralatan tempat tidur di atas pagar. Dinding yang mengandungi logo PBB rosak dan bilik di dalamnya juga mengalami kerosakan.

Pada 6 Julai lalu, pesawat Israel menyerang sekolah Al-Jawni, juga dikendalikan UNRWA di Nuseirat.

Pihak UNRWA berkata, kira-kira 2,000 orang berlindung di sana ketika serangan itu.

Keesokan harinya, empat maut dalam serangan di sekolah Holy Family yang dikendalikan oleh gereja di Bandar Gaza, di utara wilayah itu, menurut agensi pertahanan awam.

Pada Isnin minggu lalu, Israel menyerang sebuah lagi sekolah Nuseirat dengan mendakwa sekali lagi kononnya menyasarkan pengganas.

Keesokan harinya, sumber hospital berkata sekurang-kurangnya 29 maut dalam serangan di pintu masuk sekolah Al-Awda di kawasan Khan Yunis, selatan Gaza.

Israel berkata, Hamas menggunakan sekolah, hospital dan infrastruktur awam lain untuk tujuan ketenteraan. Hamas menafikan tuduhan itu.

Perancis dan Jerman pada Rabu sudah menggesa siasatan mengenai serangan terhadap sekolah.

Selepas serangan Al-Jawni, jurucakap UNRWA Juliette Touma memberitahu AFP bahawa apabila perang bermula, pihaknya menutup operasi sekolah untuk ditukar menjadi tempat perlindungan.

UNRWA ialah agensi bantuan utama di Gaza tetapi lebih separuh atau sejumlah 190 kemudahan kendaliannya terjejas dalam serangan tentera Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 11:19 AM