BARISAN pemain padang dan ragbi Pahang yang akan bertanding di Sukma Sarawak 2024. FOTO ASROL AWANG
BARISAN pemain padang dan ragbi Pahang yang akan bertanding di Sukma Sarawak 2024. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 560 atlet Sukan Malaysia (Sukma) Pahang akan berkampung di sebuah universiti di sini pada 23 hingga 25 Julai ini, sebagai persediaan menghadapi Sukma Sarawak 2014 yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, ia adalah kem terakhir sebelum atlet ke Sarawak.

"Seramai 560 atlet yang menyertai 36 acara di Sukma Sarawak akan berkampung selama tiga hari di Kuantan dan hari terakhir akan diadakan majlis penyerahan bendera kontinjen Pahang.

"Berbekal persediaan rapi dilaksanakan sejak berakhirnya Sukma 2022, kem terakhir ini diharap membantu kontinjen Pahang mencapai sasaran 40 pingat emas.

"Pada masa sama, kontinjen Pahang kali ini diharap mampu berada di kedudukan lima terbaik keseluruhan," katanya.

Ketika Sukma Kuala Lumpur 2022, kontinjen Pahang sekadar meraih 22 emas, 21 perak dan 27 gangsa dan kedudukan kesembilan keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 11:36 AM