RAKAMAN tular memaparkan seorang lelaki mematahkan pengelap cermin, cermin sisi dan cermin hadapan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Dataran Sentral 2. FOTO tular
RAKAMAN tular memaparkan seorang lelaki mematahkan pengelap cermin, cermin sisi dan cermin hadapan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Dataran Sentral 2. FOTO tular
Ahmad Hasbi


Seremban: Tidak tahu apa puncanya, seorang lelaki bertindak mematahkan pengelap cermin, cermin sisi dan cermin hadapan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Dataran Sentral 2, bersebelahan Seremban Gateway, di sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemilik kereta seorang wanita bernasib baik kerana kelakuan aneh lelaki berkenaan dirakam kamera papan pemuka sebelum ia tular.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita pada jam 5.46 petang.

"Wanita berkenaan bertugas sebagai pegawai bank di Petaling Jaya, Selangor mengatakan kereta jenis Perodua Alza miliknya diletakkan di lokasi untuk pergi bekerja.

"Dia mendapati kenderaannya mengalami kerosakan pecah cermin hadapan, 'wiper' hadapan dan belakang patah serta rosak pada kedua-dua cermin sisi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohamad Hatta berkata, wanita itu dipercayai meletakkan keretanya di lokasi kejadian sebelum ke tempat kerja dengan menumpang kereta rakan sekerja.

"Suspek sudah dikenal pasti, usaha untuk mengesan dan menangkap suspek sedang dijalankan. Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana orang yang gagal mematuhi undang-undang negara.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan khianat ke atas harta orang lain," katanya.

Justeru beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Hotline Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Amram Ismail di talian 019-9661346.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 10:39 AM