Mazarina  bersama empat anaknya.
Mazarina bersama empat anaknya.
Nor Farhani Che Ad

Sungai Petani: “Saya sedar saya tidak mempunyai wang untuk membeli keperluan anak bongsu seperti susu tepung, sebab itu saya biasakan dia makan nasi setiap kali lapar dan minum air kosong. Alhamdulillah, dia kini sudah biasa.”

Itu luahan ibu tunggal, Mazarina Md Nazir, 33, dari Kampung Serukam mengenai anak bongsunya, Muhammad Aidil Zafran Muhammad Sufian berusia dua tahun yang terpaksa membesar tanpa makanan berzat termasuk susu formula akibat kemiskinan dihadapi mereka.

“Untuk membeli lampin pakai buang pula, jika terdesak kerana tiada wang simpanan, saya akan meminjam daripada adik saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mazarina berkata, dia pasrah membesarkan empat anak berusia antara dua hingga empat tahun seorang diri selepas bercerai dengan suami dua tahun lalu.

Katanya, segala keperluan hidup termasuk mereka sekeluarga hanya bergantung bantuan wang RM400 disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Setiap bulan saya perlu berjimat menggunakan duit bantuan yang saya terima demi menyara empat anak termasuk yang bersekolah memandangkan saya tiada pendapatan tetap.

“Sekali-sekala saya mengambil upah membasuh pinggan dengan sebuah syarikat katering dengan bayaran RM50 sekali bekerja,” katanya.

Mereka yang ingin menyalurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menghubungi Mazarina di talian 017-5529849.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 10:20 AM