KOLEJ Poly-Tech MARA (KPTM) mendapat permintaan tinggi untuk kemasukan lepasan SPM. FOTO Arkib NSTP
KOLEJ Poly-Tech MARA (KPTM) mendapat permintaan tinggi untuk kemasukan lepasan SPM. FOTO Arkib NSTP
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) mendapat permintaan tinggi untuk kemasukan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila hanya dua kampus masih mempunyai kekosongan untuk pengambilan baharu.

Institusi pendidikan kendalian Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu mempunyai tujuh kampus cawangan serta satu kolej universiti.

Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau dimaklumkan ramai pemohon membuat rayuan untuk memasuki Kolej Poly-Tech MARA dengan jumlah pengambilan kini hampir 100 peratus.

"Lepas subuh baca mesej, ramai merayu Kolej Poly-Tech MARA (KPTM). Saya dimaklumkan CEO KPTM, hanya KPTM Ipoh dan KPTM Kuantan yang masih ada (kekosongan) tidak sampai 50 tempat sahaja lagi. Ramai nak masuk Mara.

"Untuk KPTM Ipoh, ada 54 sahaja lagi kekosongan. Untuk KPTM Kuantan hanya berbaki 20 tempat sahaja," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, katanya dalam menjaga kesejahteraan pelajar, KPTM sudah meminta pengurusan institusi pendidikan berkenaan memastikan segala isu kebajikan diambil kira dengan serius.

"Kalau ada sebarang keluhan, segera dan cuba sedaya upaya untuk tangani dan selesaikannya. Jika ada implikasi kewangan maklumkan pada pihak Mara segera.

"Insya-Allah, saya akan bawa ke peringkat Majlis Mara dengan segera untuk diperhalusi dan dibantu," katanya.

Katanya, Mara berusaha semaksima mungkin untuk terus aktif berkolaborasi dengan pihak industri dan memastikan kurikulum dan modul yang ditawarkan relevan dan ada nilai tambah.

"Seperti tambahan pengiktirafan profesional daripada pihak industri. Ini penting untuk membolehkan pelajar-pelajar dapat pekerjaan dengan gaji bermaruah setelah tamat belajar," katanya.

Katanya, Mara masih mengekalkan peratusan kebolehpasaran graduan institusi pendidikannya melebihi 95 peratus iaitu lebih tinggi berbanding institusi pendidikan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 11:10 AM