LIM Hui Ying. FOTO Bernama
LIM Hui Ying. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengkaji jumlah Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) yang diterima sebanyak RM200 sebulan sekiranya berlaku kenaikan harga diesel pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, berdasarkan data Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah RM200 Budi Madani itu adalah mencukupi bagi menampung kos diesel bulanan bagi 80 peratus isi rumah di Semenanjung Malaysia.

"Kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

"Sekiranya perlu, penambahbaikan dari semasa ke semasa akan dibuat dalam memastikan golongan yang benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani kos sara hidup," katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) sama ada nilai Budi Madani diterima pemilik kenderaan sebanyak RM200 akan dikekalkan atau kerajaan mempunyai mekanisme pengiraan bantuan sekiranya harga diesel meningkat pada masa akan datang.

Mengulas mengenai kaedah perolehan Budi Madani, Lim menegaskan pembangunannya menggunakan kepakaran dalaman dari kalangan pegawai kerajaan tanpa khidmat perunding luar.

"Portal Budi Madani dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman dari kalangan pegawai kerajaan tanpa khidmat perunding luar.

"Oleh itu, isu tender terbuka atau tidak, tidak wujud memandangkan menggunakan infrastruktur sedia ada," katanya.

Dilaporkan setakat 6 Jun 2024, lebih daripada 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi telah diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif Budi Madani.

Penerima disalurkan bantuan tunai pertama mulai 10 Jun lalu berjumlah RM200 melalui akaun bank masing-masing, manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut Budi Madani secara tunai dengan membawa MyKad di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional seluruh Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 11:31 AM