GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) kini dalam usaha untuk mendapatkan khidmat syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing bagi menangani isu prebet sapu yang membabitkan penuntut institusi berkenaan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Usim, Prof Datuk Dr Adnan Mohamed Yusoff berkata, syarikat berkenaan menawarkan tambang yang berpatutan kepada penuntut di samping mengambil siswa sebagai pemandu.

Bagaimanapun, kata beliau, perbincangan bersama syarikat perkhidmatan e-hailing itu sudah dilakukan dan masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa.

"Syarikat e-hailing berkenaan masih lagi menunggu kelulusan daripada agensi berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum menawarkan perkhidmatan kepada penuntut di Usim.

"Difahamkan, syarikat e-hailing ini turut beroperasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM)," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah ini dikesan terbabit dengan penawaran perkhidmatan prebet sapu kepada rakan seuniversiti.

Kegiatan itu mendapat aduan daripada ibu bapa sebelum JPJ Negeri Sembilan melancarkan operasi khas sebelum berjaya menahan beberapa pelajar hasil penyamaran sebagai penumpang.

Jelas Adnan, dengan kerjasama daripada syarikat berkenaan, pihaknya yakin dapat mencegah aktiviti prebet sapu yang mana ia bertentangan dengan undang-undang negara ini.

"Ia secara tidak langsung memberi perlindungan kemalangan dan peluang pekerjaan kepada individu yang berminat menjalankan perkhidmatan itu," katanya.

Mengulas lanjut, susulan operasi yang dijalankan JPJ pada Mei lalu itu, isu berkenaan menjadi panas dalam kalangan penuntut dan pihaknya sudah memanggil mahasiswa yang terbabit.

Jelas beliau, pihaknya mendapatkan maklum balas daripada penuntut dan memberi amaran kerana sebagai pelajar mereka tidak boleh terbabit dengan kegiatan yang melanggar undang-undang negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 9:57 AM