Syabil Azam (tengah) menyusukan adiknya, Syah Amsyar (dipangku) sambil diperhatikan adiknya yang lain di rumah sewa mereka di Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit. FOTO Rozainah Zakaria
Syabil Azam (tengah) menyusukan adiknya, Syah Amsyar (dipangku) sambil diperhatikan adiknya yang lain di rumah sewa mereka di Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit. FOTO Rozainah Zakaria
Baharom Bakar


REMAJA, Syabil Azam Sahidi, 19, reda apabila cita-cita melanjutkan pelajaran terkubur demi menjaga enam adiknya, termasuk yang masih bayi berusia tujuh bulan selepas ibunya meninggal dunia tahun lalu.

Syabil Azam dari Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit, Kuala Nerus, membuat keputusan itu bagi memenuhi amanat ibunya, Noorhayati Alias, yang meninggal dunia selepas dua bulan melahirkan adik bongsunya, Ogos lalu.

Menurutnya, sebelum ibu meninggal dunia selepas melahirkan adik bongsu, Syah Amsyar Muhammad hasil perkahwinan dengan bapa tiri, Muhammad Mohd Nor, 53, arwah kerap berpesan supaya menjaga adik kerana lima daripadanya masih bersekolah.

“Saya pernah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di sebuah institut kemahiran, tetapi memikirkan adik kehilangan tempat bergantung, saya sanggup berkorban.

“Saya menolak tawaran itu selepas tiada sesiapa yang menjaga makan minum mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Selain Syabil Azam dan Syah Amsyar, lima lagi adiknya ialah pasangan kembar Syahwanie Azwa Sahidi dan Syahwanie Azwin, 16, serta Syahwanie Azliya, 15, Syahil Azer, 14, dan Syahwanie Azrinie, 10.

Syahwanie Azwa, Syahwanie Azwin, Syahwanie Azliya dan Syahil Azer masing-masing belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Zainal Abidin, manakala Syahwanie Azrinie di Sekolah Kebangsaan (SK) Maras.

Syabil Azam mengakui ada antara penduduk bercadang mengambil adiknya sebagai anak angkat, tetapi terpaksa menolak kerana berpegang kepada pesanan arwah ibu supaya adik-beradiknya tidak berpisah.

Katanya, dia amat berterima kasih kepada bapa tirinya yang berkerja sendiri kerana masih membantu, termasuk membayar sewa rumah, selain menyediakan makan minum dan menjenguk adiknya, walaupun hanya pulang ke rumah sehari dalam seminggu.

“Walaupun hanya bapa tiri, tetapi dia tetap menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga apabila pulang untuk menjenguk dan bertanya khabar kami adik-beradik.

“Selain barangan makanan disediakan bapa tiri, ibu dan bapa saudara serta jiran turut menghulurkan bantuan, selain membantu memasak untuk kami adik-beradik,” katanya sambil menambah bapa kandungnya, Sahidi Abdullah sudah meninggal dunia pada 2010.

Mengenai makan minum, Syabil Azam berkata, Syahwanie Azwa dan Syahwanie Azwin akan menyiapkan juadah sarapan dan makan tengah hari sebelum ke sekolah.

“Rutin harian saya pada hari biasa adalah menghantar Syah Amsyar ke rumah jiran untuk dijaga sebelum menghantar dan mengambil Syahwanie Azwa, Syahwanie Azwin, Syahwanie Azliya dan Syahil Azer serta Syahwanie Azrinie pulang dari sekolah,” katanya.

Syabil Azam berkata, dia pernah bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai runcit, tetapi terpaksa berhenti disebabkan terpaksa menghantar dan mengambil adik balik dari sekolah.

“Kami sudah dididik dari kecil oleh arwah ibu supaya hidup berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada simpati orang lain untuk menguruskan pakaian dan menyediakan makan minum.

“Adik saya masing-masing sudah memahami tugas yang perlu dilakukan, termasuk mencuci pakaian, membersih rumah, selain menyiapkan makan minum ketika cuti persekolahan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman berkata, tujuh beradik yatim piatu itu sudah menerima bantuan am berjumlah RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya berusaha dan akan berbincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk membantu meringankan bebanan bapa tiri kepada tujuh beradik ini yang terpaksa menanggung kos sewa kediaman RM500 sebulan,” katanya.

Bazlan (kiri) bermesra dengan tujuh beradik yatim piatu di Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit. FOTO Rozainah Zakaria
Bazlan (kiri) bermesra dengan tujuh beradik yatim piatu di Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit. FOTO Rozainah Zakaria

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 5:37 PM