PASUKAN Johor bergambar selepas muncul juara dalam Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2024 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
PASUKAN Johor bergambar selepas muncul juara dalam Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2024 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Gong Badak. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Johor muncul juara berganda Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2024 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, petang semalam.

Kejayaan itu diraih menerusi kategori Lelaki Terbuka selepas membelasah Selangor dengan keputusan 22-0 dan kategori Lelaki Bawah 21 Tahun dengan menundukkan Terengganu 26-12.

Lebih manis dua pemain skuad itu, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi dan Mohamad Zariff Mohd Zaidy masing-masing muncul pemain terbaik kategori Lelaki Terbuka dan kategori Lelaki Bawah 21 Tahun.

Kejayaan itu membolehkan pasukan Johor membawa pulang hadiah wang tunai masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM3,000.

"Alhamdulillah pemain berjaya menunjukkan prestasi yang sangat baik terutama daripada segi menyerang dan bertahan selain mereka mempamerkan mentaliti untuk menang.

"Kejayaan ini tidak mudah untuk dimenangi terutama hampir sebelas tahun menanti selepas kali terakhir merangkul kejuaraan pada 2013 di bumi sendiri.

"Selepas ini kita bakal membuat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Ragbi Piala Agong yang dijadualkan bakal berlangsung pada bulan depan," ujar ketua jurulatih pasukan Lelaki Terbuka Johor, Mohd Izwan Abu Bakar ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Bagi kategori Wanita Terbuka, johan menjadi milik pasukan Selangor yang berjaya menewaskan Perlis dengan keputusan 15-5 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 manakala Terengganu muncul juara kategori Wanita Bawah 21 Tahun selepas menundukkan Selangor 17-0 juga membawa pulang RM3,000.

Pemain yang memakai jersi nombor 12 pasukan Terengganu, Nur Alya Nabila Samsu Bahari muncul pemain terbaik kategori Wanita Bawah 21 Tahun manakala pemain Selangor, Rozliana Mohd Ridwan meraih pemain terbaik kategori Wanita Terbuka.

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal dan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 11:24 AM