SIMPANG cabang empat Kuari Bukit Buloh yang kerap berlaku kemalangan sehinggakan ada yang meragut nyawa.
SIMPANG cabang empat Kuari Bukit Buloh yang kerap berlaku kemalangan sehinggakan ada yang meragut nyawa.
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Sebelum ini penduduk pernah menzahirkan kebimbangan berikutan simpang empat Kuari Bukit Buloh di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Pulai Chondong di sini, kerap berlaku kemalangan.

Aduan sudah dibuat, bahkan isu pernah disiarkan media dengan harapan pihak berkuasa mengambil tindakan yang dapat mengurangkan bahaya pengguna jalan raya.

Tahun berganti namun masalah tidak selesai malah laluan itu digelar 'simpang maut' oleh penduduk Kampung Jenereh Bongkok kerana kemalangan yang berlaku sehingga meragut nyawa.

Tinjauan Harian Metro mendapati laluan itu sentiasa sibuk dengan kenderaan terutama lori mengangkut batu kerikil yang menggunakan persimpangan itu untuk keluar masuk ke kawasan kuari berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Mukim Gading Galoh, Muhd Sadiqi Zakaria, 35, berkata, dia tidak menafikan kemalangan kerap berlaku kerana persimpangan itu yang sangat luas selain dilalui kenderaan kuari berhampiran.

"Difahamkan terdapat lima kuari di kawasan ini dan ratusan lori melalui persimpangan, biasanya pada waktu puncak paling sibuk.. waktu tengah hari dan 5 petang.

MUHD Sadiqi ketika meninjau simpang cabang empat Kuari Bukit Buloh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MUHD Sadiqi ketika meninjau simpang cabang empat Kuari Bukit Buloh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Dalam beberapa tahun ini dianggarkan 10 kemalangan berlaku di sini termasuk kemalangan maut, malah arwah datuk saya juga terkorban kemalangan pada tahun 90-an," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, dalam kemalangan dua tahun lalu, dua remaja yang menunggang motosikal meninggal dunia di simpang berkenaan selepas berlanggar dengan lori.

"Ini yang menimbulkan kebimbangan penduduk, saya kerap terima aduan mereka dan sudah memanjangkan ia kepada pihak berkuasa untuk penyelesaian sewajarnya," katanya.

Penduduk, Sakinah Daud, 49, berkata, ketiadaan papan tanda amaran yang mencukupi antara faktor menyebabkan pengguna jalan 'leka' ketika melalui persimpangan itu.

"Ada yang cadangkan supaya dipasang lampu isyarat atau bina bonggol, namun saya rasa kurang sesuai disebabkan persimpangan ini menuruni bukit.. bahaya juga.

"Pandangan saya, perbanyakkan papan tanda amaran... garisan merah mungkin boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan di persimpangan ini," katanya yang menyifatkan laluan itu 'perangkap maut' apatah lagi pemandu memandu laju.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Noryana Mat, 54, boleh dikatakan saksi pertama yang melihat kemalangan di persimpangan itu disebabkan kedai makan diusahakan lebih 20 tahun berada berhampiran

Katanya, penunggang motosikal sering menjadi mangsa dan dia sudah banyak kali melihat kemalangan di depan mata, gara-gara kenderaan dipandu laju.

"Selain itu, persimpangan ini juga akan mengelirukan terutama bagi pengguna yang pertama kali melalui kawasan ini. Walaupun ada penghadang jalan, lokasi ini tetap undang bahaya. Saya merayu agar pihak berkuasa turun padang dan melihat sendiri betapa bahayanya laluan ini," katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 10:01 AM