DATUK Seri Mohd Yusri Hassan Basri
DATUK Seri Mohd Yusri Hassan Basri
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengambil alih jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman baharu, hari ini.

Beliau menggantikan Timbalan Pengarah JSPT 1, Datuk Mohd Nasri Omar yang ditugaskan memangku jawatan berkenaan selepas persaraan Datuk Azman Ahmad Sapri pada 8 April lalu.

Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana pangkat itu disaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain di sini, hari ini.

Razarudin berkata, beliau yakin pengalaman dan pengetahuan luas Mohd Yusri akan memacu JSPT ke arah perkhidmatan cemerlang serta berintegriti tinggi.

"Pucuk pimpinan pasukan meletakkan harapan tinggi kepada Pengarah JSPT untuk memastikan jabatan ini sentiasa pada tahap dan landasan yang betul untuk mengekalkan momentum pencapaian cemerlang.

"Saya berharap Datuk Seri (Mohd Yusri) sentiasa peka dan cakna terhadap hal kebajikan termasuk keperluan penugasan warga JSPT di lapangan terutama dari aspek logistik, peralatan, kemahiran serta latihan.

"Adanya keseimbangan keperluan tugas dan kebajikan, ia akan mengaspirasikan JSPT ke arah jabatan lebih unggul, mampan dan holistik dalam menjamin kesejahteraan pengguna jalan raya," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, JSPT memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas di samping bertanggungjawab memastikan pergerakan lalu lintas selamat serta lancar khususnya di bandar utama semasa waktu puncak dan ketika musim perayaan.

Katanya, JSPT juga memainkan peranan penting mendidik masyarakat mengenai cara pemanduan selamat bagi mengelak kemalangan jalan raya dan kehilangan nyawa.

Justeru, beliau berkata, pasukan itu perlu komited menguatkuasakan operasi secara konsisten, tegas dan berintegriti bagi merealisasikan matlamat berkenaan.

"Setinggi-tinggi harapan saya pasakkan bukan saja kepada warga JSPT bahkan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan tugas dan memberi perkhidmatan bertunjangkan integriti serta tatakelola baik serta mendokong kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 10:19 AM