Mohd Roji Kawi


Kuching: Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti dijangka dikuatkuasakan pertengahan bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dua hari lalu.

Justeru katanya, beliau yakin RUU itu akan dikuatkuasakan pada minggu kedua September ini.

"Tuanku baru balik dari Turkiye tiga hari lalu dan baginda juga ada bertanya dengan saya berhubung RUU itu. Kita sudah persembahkannya. Jadi berilah masa dalam seminggu ini kepada baginda untuk meneliti RUU berkenaan.

"Jika ada benda yang perlu diperjelaskan, Tuanku akan memanggil Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) untuk memberi penjelasan lanjut berhujung RUU itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Kenduri Rakyat di Kampung Bako Hilir, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, proses untuk menguatkuasakan RUU itu melalui dua peringkat dengan yang pertama mengikut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan iaitu mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong yang sudah dilaksanakan.

"Selepas itu RUU itu akan dikembalikan kepada pejabat Peguam Negara dan pejabat saya sebelum kita memohon semula kepada tuanku untuk dikuatkuasakan," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, beberapa perkampungan tradisi di kawasan Parlimen itu antaranya Bako dan Tabuan akan dibangunkan menjadi perkampungan moden.

"Kita merancang untuk membuka kawasan baharu menggunakan konsep perumahan Darul Hana di Petra Jaya untuk membangunkan kampung tradisi di kawasan Parlimen Santubong ini.

"Kami sedang berbincang dengan Jabatan Tanah dan Survei bagi mendapatkan tapak sesuai untuk tujuan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 1:12 PM