WAN Junaidi (gambar fail). FOTO Ihsan Penerangan
WAN Junaidi (gambar fail). FOTO Ihsan Penerangan
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Undang-undang berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti berkuat kuasa esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, pelaksanaan tarikh kuat kuasa akta A1663 itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan hari ini.

"Akta ini sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 2022 dan diwartakan sebagai akta A1663 pada 6 September 2022.

"Alhamdulillah, akta ini mendapat perkenan Agong bagi tarikh kuat kuasa pada 5 Oktober 2022 (esok) dan selaras dengan Seksyen 1(2) dan Seksyen 1(3) Akta A1663 dan akta ini juga diwartakan pelaksanaannya sekejap tadi," katanya pada sidang media hari ini.

Wan Junaidi berkata, dengan pelaksanaan tarikh kuat kuasa akta itu, mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti pada atau selepas tarikh terbabit, akan hilang kelayakannya.

Ditanya mengenai pelaksanaan undang-undang terbabit di peringkat negeri, beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengutuskan surat kepada semua kerajaan negeri meminta mereka menyelaras dan menggunapakai pindaan yang sudah digubal di bawah Jadual Ke-8 Pindaan Perlembagaan itu.

"Jadual itu adalah untuk menyelaraskan penggunaan ahli berpindah parti di negeri-negeri yang boleh diguna pakai ke atas Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri).

"Kita mahu undang-undang itu diselaraskan supaya mudah peruntukan di semua negeri adalah sama kerana kita tidak mahu ada negeri lain yang berbeza.

"Sebab itu Perdana Menteri akan utus surat kepada negeri selepas ini supaya apabila Dewan Undangan Negeri (Dun) mereka bersidang pada penghujung tahun ini, pindaan kepada undang-undang itu dapat diselaraskan dan dibuat bersama dengan apa yang kita letak di bawah Akta A1663 ini," katanya.

Pada 28 Julai lalu, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua per tiga.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 Ahli Parlimen mewakili pihak kerajaan dan blok pembangkang, namun sesi perbahasan itu tidak disertai mana-mana wakil rakyat Bersatu.

Malah, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun semalam memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenankan 14 akta termasuk Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 5:55 PM