Bangunan Parlimen.
Bangunan Parlimen.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 (Akta A1642) yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 19 Januari lalu, dikuat kuasakan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, akta itu merangkumi pindaan Perkara 1(2), Perkara 160(2) serta Perkara 161A (6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, RUU itu diwartakan sebagai Akta A1642 pada 25 Januari lalu dan penguatkuasaannya adalah komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia (MA63).

"Akta itu amat signifikan dan pastinya khabar gembira yang dinanti-nantikan rakyat Sabah dan Sarawak.

"Ini kerana pindaan kepada fasal (2) Perkara 1 dan fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan adalah untuk menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia selaras dengan perkara yang tersurat dan tersirat dalam MA63," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Santubong, di sini, hari ini.

Menurutnya, pindaan kepada fasal (6) dan (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan pula adalah penetapan ras yang dikira sebagai asli bagi Sarawak seperti diperuntukkan dalam undang-undang negeri.

Menerusi pindaan itu katanya, definasi ras asli Sarawak adalah tidak lagi tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Sebelum ini hanya anak pasangan pribumi Sarawak sahaja seperti suami isteri sesama Iban atau Melayu ataupun perkahwinan campur antara pribumi seperti Iban berkahwin dengan Melayu sahaja anak mereka diiktiraf sebagai Bumiputera.

"Bagaimanapun, anak hasil perkahwinan pribumi yang berkahwin dengan bangsa lain seperti Cina ataupun pribumi Sarawak dengan Melayu Semenanjung pula, bukan dianggap Bumiputera," katanya.

Justeru katanya, dengan pindaan itu kini terpulang kepada kerajaan Sarawak untuk menetapkan takrifan Bumiputera sebenar Sarawak menerusi perundangan Sarawak sendiri dan ia tidak lagi di bawah kawalan Persekutuan.

Ketika ditanya sama ada dengan pindaan akan menukar status Sarawak daripada negeri kepada wilayah, beliau berkata, ia akan diputuskan oleh kerajaan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 5:07 PM