Dewan Negara
Dewan Negara
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga ahli dewan.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas pembentangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi bacaan kali kedua, pagi tadi.

Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, usul RUU itu diluluskan selepas dibahas lebih tiga jam oleh 32 Ahli Dewan Negara yang mewakili pihak kerajaan dan pembangkang.

Undi belah bahagian peringkat bacaan kali ketiga yang dimulakan pada 5.43 petang menyaksikan seramai 52 Ahli Dewan Negara menyokong, tiada yang tidak bersetuju serta tujuh tidak hadir.

Dengan kelulusan ini, RUU berkenaan seterusnya akan melalui proses perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan sebelum undang-undang itu dapat diwarta, kemudian mula dikuatkuasakan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung RUU itu berkata, keperluan Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusinya dianggap sebagai satu bentuk hukuman terhadap mereka.

Beliau berkata, sepertimana Fasal baharu 49A(1) RUU itu, ia menyediakan satu peruntukan pencegahan kepada ahli Dewan Rakyat yang mahu berpindah parti atau melanggar mandat rakyat yang diberikan kepadanya dalam pilihan raya.

"Kita juga memandang pentingnya pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan kebebasan sendiri bersama keputusan yang bakal dibuat oleh raja memerintah di negeri itu, atau Yang di-Pertuan Negeri, untuk membuat keputusan selepas ada perundingan dengan Yang di-Pertuan Agong, barulah kita boleh menyeragamkan undang-undang terbabit.

"Walaupun kita mempunyai kuasa undang-undang (di bawah Perlembagaan Persekutuan), tapi kita menghormati negeri masing-masing sebagai satu unit (asas) yang perlu diberi kehormatan, begitu juga (kedudukan) sultan atau rajanya," katanya.

Wan Junaidi berkata, RUU itu yang memberikan peluang kepada Ahli Dewan Rakyat yang tergugur untuk bertanding semula dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), dipersetujui bertujuan untuk menyemarakkan amalan demokrasi dalam negara.

"Ini untuk memberikan peluang sama rata juga kepada ahli Dewan Rakyat untuk bertanding semula. Hakikatnya, ini untuk melihat kalau seorang itu meletak jawatan atau kehilangan keahlian (Dewan Rakyat) disebabkan RUU ini, dia boleh bertanding semula dan kita juga boleh lihat sama ada rakyat mahu sokong atau tidak.

"Kalau dia menang (semula dalam PRK), maka benar dia mendapat mandat rakyat. Jadi, kita kena hormat mandat rakyat ini," katanya yang turut memaklumkan Perdana Menteri akan mengutuskan surat kepada semua negeri dalam usaha bagi membolehkan pengenalan undang-undang itu diseragamkan, terutama buat negeri yang masih belum memiliki enakmen khusus berkaitan tukar parti.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, RUU bertukar parti adalah undang-undang kedua di Malaysia yang digubal oleh Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen selepas RUU Kanun Keseksaan dan Tatacara Jenayah pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 6:49 PM