Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai menunjukkan senjata api tiruan yang dirampas selepas polis menahan warga asing semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai menunjukkan senjata api tiruan yang dirampas selepas polis menahan warga asing semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Simpan 'Glock', 'Styer' dan 'M4' yang dibeli dari China sebelum dijual kepada pembeli pada harga RM50 hingga RM200.

Itu dilakukan seorang warga asing berusia 26 tahun yang aktif menjual senjata api tiruan air gun dan airsoft gun mirip senjata sebenar sejak Oktober lalu sebelum kegiatannya terbongkar selepas Perodua Myvi dipandunya ditahan di Sentul, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, terdahulu anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan kereta terbabit selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemui senjata tiruan di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang.

"Sebanyak 25 laras senjata rifle tiruan, dua pistol mainan tidak berjenama dan 480 peluru plastik jenis tidak dikenal pasti dirampas.

"Susulan tangkapan suspek, polis kemudian menyerbu sebuah premis di Taman Fadason, Jinjang yang dijadikan stor untuk menyimpan senjata api tiruan berkenaan," katanya pada sidang media di IPD Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, pemeriksaan di premis terbabit menemui 731 pistol tiruan pelbagai jenis, 198 senapang tiruan pelbagai jenis dan 1,149 rifle tiruan pelbagai jenis dianggarkan nilai keseluruhan berjumlah RM318,520.

"Siasatan mendapati suspek menjual senjata api tiruan berkenaan menerusi platform dalam talian dengan harga RM50 hingga RM200.

"Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 12 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Mana-mana individu diingatkan untuk tidak memiliki senjata api yang menyerupai senjata api sebenar kerana ianya adalah satu kesalahan dan mereka yang memilikinya perlu memohon kebenaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 4:40 PM