Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Polis Johor tidak menolak kemungkinan penemuan senapang angin dan sepucuk pistol di Sungai Skudai, dekat sini pada 1 Januari lalu mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata susulan penemuan itu, pihaknya sudah menahan 20 individu termasuk 13 lelaki warga Indonesia berusia antara 21 hingga 50 tahun, selain seorang daripadanya adalah pengurus syarikat peralatan perkhemahan yang beroperasi berhampiran sungai itu.

Katanya, hasil siasatan yang dijalankan, polis menemukan sepucuk pistol separa automatik, enam senapang 'airsoft' pelbagai jenis, kira-kira 6,000 peluru hidup pelbagai jenis, lima butir anak peluru jenis 0.22 'air rifle' dan komponen senjata api airsoft.

"Hasil pemeriksaan dari pegawai persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor disahkan hanya sepucuk pistol disahkan senjata api manakala yang lain adalah senapang angin yang menyerupai senjata sebenar.

"Penemuan senjata api ini adalah rentetan tangkapan seorang lelaki tempatan iaitu pengurus syarikat keselamatan yang juga adik kepada pengurus syarikat peralatan perkhemahan terbabit.

"Mungkin selepas suspek pertama (pengurus syarikat keselamatan) ditangkap dan sudah dituduh di mahkamah pada Oktober lalu, mereka bertindak melupuskan senjata api ini dengan membuang ke dalam sungai.

"Dipercayai kira-kira 20 senjata api dibuang, sehingga kini tujuh sudah ditemukan," katanya pada sidang media di IPK Johor di sini hari ini.

DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar sepucuk pistol semi auto serta gambar operasi pasukan polis Marin yang menyelam dalam sungai Skudai untuk mengesan sebahagian daripada senjata api jenis airsoft gun. FOTO Zain Ahmed
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar sepucuk pistol semi auto serta gambar operasi pasukan polis Marin yang menyelam dalam sungai Skudai untuk mengesan sebahagian daripada senjata api jenis airsoft gun. FOTO Zain Ahmed

Ayob Khan berkata, pihaknya percaya tidak ada unsur-unsur penyeludupan senjata api masuk atau keluar di Johor susulan kejayaan itu.

"Syarikat keselamatan itu mempunyai lesen untuk menyimpan senjata api. Mungkin ini cuma diperolehi dengan cara salah yang mereka simpan senjata api.

"Samaran mereka cantik (lesen menyimpan senjata api), mungkin mereka beranggapan tidak ada yang akan datang mẹmbuat pemeriksaan," katanya.

Katanya, polis Johor menasihatkan supaya tidak menyimpan atau memiliki senjata api sebenar atau menyerupai yang tidak dilesenkan, selain tindakan tegas akan dikenakan mengikut undang-undang sedia ada iaitu Akta Senjata Api Lebih Berat 1971/1960 atau lain-lain seksyen berkaitan senjata api.

Muka depan Metro Ahad sebelum ini melaporkan polis menggunakan peralatan pancing magnet bagi 'mengail' pelbagai senjata api berat yang dibuang sekumpulan suspek ke dasar sungai berhampiran Tampoi, Johor.

Arus deras menyebabkan anggota penyelam pasukan Polis Marin sukar mengesan kedudukan pelbagai senjata api dan peluru yang sengaja dibuang suspek sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 3:13 PM