Senjata api tiruan pelbagai jenis dirampas pasukan D9 JSJ Sabah. FOTO IHSAN PDRM
Senjata api tiruan pelbagai jenis dirampas pasukan D9 JSJ Sabah. FOTO IHSAN PDRM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Wanita ditahan polis kerana memiliki senjata api tiruan dan menjualnya di sini, semalam.

Wanita berusia 37 tahun itu ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sebuah premis di pekan Papar, jam 2.30 petang.

Ketua JSJ Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, hasil pemeriksaan di premis berkenaan, pasukan serbuan merampas 12 senjata api tiruan pelbagai jenis.

"Antaranya, laras Automatik Rifle M416, Airsoft Gun Combat Master, Airsoft Gun Glock, Airsoft Gun 731B, M17, C11, dan Airsoft Gun C.1.

"Turut dirampas, tujuh botol berisi peluru pelbagai jenis dan warna," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, siasatan lanjut mendapati, suspek mengaku terbabit dalam kes memiliki senjata api tiruan.

"Suspek juga mengaku tidak mengetahui akan kesalahan memiliki senjata api tiruan dan menjual di kawasan itu disebabkan mempunyai permintaan yang tinggi.

"Memiliki senjata api tiruan tetap menjadi satu kesalahan undang-undang walau atas apa alasan sekalipun.

"Saya juga ingin ingatkan sesiapa juga jangan jadikan apa-apa alasan untuk miliki senjata api tiruan kerana ia tetap salah dari segi undang-undang," katanya.

Menurutnya, suspek dan barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 10:26 AM