PELBAGAI jenis senjata api yang dirampas daripada suspek. FOTO MELVIN JONI
PELBAGAI jenis senjata api yang dirampas daripada suspek. FOTO MELVIN JONI
Norsyazwani Nasri dan Melvin Joni


Mukah: Sebanyak 17 laras senjata tiruan pelbagai jenis yang diseludup masuk dari Indonesia dirampas dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Orang Kaya Setiaraja, di sini, hari ini.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak bersama Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) jam 3.05 pagi.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Mohamad Rizal Alias berkata, enam warganegara Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 39 tahun ditahan dalam serbuan itu.

"Kesemua mereka mempunyai pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Sementara, pemeriksaan terhadap seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Andi Kurniawan Azis, 27, menemui pelbagai jenis senjata api tiruan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua laras daripada senjata api yang dirampas adalah jenis AK manakala yang lain jenis Sniper, M16, HK, HK UMP, Pump Gun, HK 416, Styer, Rifle P90 dan tujuh laras lagi tidak diketahui jenisnya.

Katanya turut dirampas 24 kelopak peluru dan 12 bebola gel bagi tujuan permainan paintball.

"Hasil soal siasat, suspek yang menjalankan aktiviti menjual barang-barang Indonesia di kawasan ladang di sini.

"Kesemua senjata api yang dimiliki diperoleh dari pasaran Indonesia dan suspek merancang menjalankan perniagaan permainan paintball menggunakan blaster di sini, tetapi tidak dapat dijalankan kerana tiada rakan kongsi tempatan untuk permohonan lesen," katanya.

Muhamad Rizal berkata, perniagaan juga tidak dapat dijalankan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan ketika ini "Semua rampasan dianggarkan bernilai RM40,000, hasil semakan awal suspek tidak mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah.

"Polis akan memohon perintah reman untuk siasatan lanjut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960," katanya.

Katanya, lima lagi suspek ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan dokumen perjalanan tamat tempoh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 5:19 PM