SENJATA  api tiruan pelbagai jenis dirampas pasukan serbuan D9 JSJ Kontinjen Sabah. FOTO Ihsan polis
SENJATA api tiruan pelbagai jenis dirampas pasukan serbuan D9 JSJ Kontinjen Sabah. FOTO Ihsan polis
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 16 laras senjata api tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Sri Perdana, Lahad Datu, hari ini.

Suspek warga tempatan berusia 27 tahun ditahan Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu, jam 10.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner, Azmi Abd Rahim berkata, bertindak dengan maklumat, pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan sebelum merampas tujuh senjata api tiruan jenis rifel.

"Turut dirampas sembilan pucuk pistol, lima paket peluru, dua unit tong gas gun, dua unit pengecas, dua unit fast loader, 14 unit kelopak sniper, tujuh unit kelopak pistol dan seunit kelopak sniper.

"Suspek dan rampasan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan IPD Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, siasatan lanjut mendapati, suspek mengaku senjata tiruan adalah miliknya.

"Suspek juga mengaku mengaku senjata terbabit dibeli secara dalam talian melalui Facebook.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960," katanya.

Sementara itu, Azmi mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali menjual, menyimpan atau memiliki sebarang jenis senjata api tiruan kerana ia menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 9:50 PM